PRIUS V pasti mendapat sambutan hangat daripada pengguna yang mementingkan penjimatan bahan api dan mahu membantu menjaga alam sekitar.
KENDERAAN segmen wagon seperti Toyota Wish, Perodua Alza dan Nissan Grand Livina memang popular dalam pasaran domestik. Walaupun kenderaan jenis itu lebih glamor dikenali sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV), hakikatnya ia tetap sebuah wagon iaitu kereta yang terbukti praktikal.
Lazimnya, wagon lebih ideal untuk keluarga kecil kerana format kerusinya adalah 5+2 dan bukan tujuh tempat duduk penuh. Namun di pasaran Jepun misalnya, Honda Stream RSZ hanya mempunyai lima tempat duduk. Barisan ketiga dibiarkan kosong untuk ruang kargo.
Saya sebenarnya keliru kenapa wagon begitu masyhur. Sedangkan kerusi barisan ketiganya sempit dan harganya pula tidak murah. Mungkin faktor gaya, saiz yang kompak dan ekonomikal berjaya mengimbangi kekurangan dari aspek saiznya.
Bercakap mengenai ekonomikal, Toyota tampil dengan model dengan idea bijak. Toyota Prius memang popular sebagai kereta yang menjimatkan bahan api, tetapi apa akan jadi jika enjin hibrid Prius disumbatkan ke dalam wagon seperti Toyota Wish?
Hasilnya ialah Toyota Prius v, sebuah kenderaan yang saiznya tidak jauh beza dengan Toyota Wish, bersama enjin hibrid yang terkenal menjimatkan. Huruf v pada pangkal nama model itu merujuk kepada versatiliti atau serba boleh.
“Prius v membawa teknologi hibrid kepada pelanggan yang mahukan ruang dan kargo lebih besar. Oleh kerana ia sebuah Prius, emisinya lebih rendah berbanding kenderaan lain. Penggunaan bahan api juga lebih jimat berbanding SUV atau crossover yang dijual di Amerika. Kami yakin ia situasi menang-menang untuk semua,” jelas Pengurus Besar Toyota Amerika Syarikat (AS), Bob Carter.
Hybrid Synergy Drive
Prius v menggunakan sistem Hybrid Synergy Drive, sama seperti Prius generasi ketiga bersama beberapa kelebihan seperti penjimatan bahan api, kurang emisi dan tidak perlu pengecasan semula.
Sistem hibrid itu menggunakan dua motor dengan output tinggi. Unit motor utama berkuasa 60 kw (80 hp) yang menggerakkan transgandar yang kompak dan ringan. Sementara sebuah lagi motor yang lebih kecil berfungsi sebagai sumber tenaga elektrik.
Pek bateri nickel-metal hydride yang ada padanya sama seperti Prius generasi ketiga, kecuali salur penyejukan diletakkan di bawah kerusi belakang. Hybrid Synergy Drive adalah sistem yang mampu menggerakkan kenderaan sama ada melalui enjin, motor atau kedua-duanya sekali.
Komputer kawalan hibrid menguruskan sistem supaya kuasa optimum dapat dijana mengikut pilihan pemandu. Ia menggunakan sistem start/stop dan brek jana semula (regenerative) yang dapat menjimatkan bahan api.
Standard, Eco, Ev dan Power
Sistem itu juga bertanggungjawab mengecaj semula bateri semasa nyah pecutan. Hybrid Synergy Drive berpaksi kepada enjin 1.8 liter berkuasa 98 hp kitaran Atkinson dengan kuasa total 134hp.
Komponen utamanya terdiri daripada pam air elektrik tanpa pemasa (belt) dan sistem exhaust gas recirculation (EGR) yang membantu memanaskan enjin dengan pantas dan mengurangkan penggunaan bahan api semasa enjin sejuk. Kompak dan ringan, enjin itu turut mengeluarkan bunyi dan getaran yang minimum.
Standard untuk kereta hibrid, Prius v mempunyai beberapa mode pilihan pemanduan iaitu Standard, Eco, EV dan Power. Dalam mode Power, kuasa digunakan untuk membantu kenderaan dalam keadaan jalan yang curam dan tinggi.
REKAAN ruang kabin Prius v yang canggih dan mengutamakan aspek ergonomik.
Mode EV pula membolehkan Prius v bergerak menggunakan kuasa bateri untuk perjalanan singkat dengan kelajuan perlahan dalam jarak kira-kira 1.6 kilometer.
Dalam mode Eco, sistem pengurusan enjin mengutamakan penjimatan bahan api, menguruskan respon pendikit dan menghadkan penggunaan kuasa daripada penyaman udara.
Selain enjin yang ekonomikal, Prius v turut mengutamakan aspek keluasan dan keanjalan untuk keluarga yang aktif. Ruang dalamannya selesa dan penglihatan yang bagus. Ia terhasil daripada kedudukan kerusi yang tinggi, kelegaan ruang kepala dan ruang kaki penumpang.
Kerusi baris kedua pula boleh dilaras untuk memudahkan urusan keluar dan masuk kereta, selain keupayaan untuk dibaringkan sehingga 45 darjah untuk lebih keselesaan. Kerusi baris ketiga pula adalah jenis boleh lipat 60/40. Ia juga boleh disimpan ke lantai untuk lebih ruang barangan.
Rebat cukai
Toyota menggunakan bahan baru untuk kerusi Prius v iaitu SofTex yang direka supaya senang dicuci, kalis tumpahan dan susah rosak yang sangat sesuai untuk sebuah kereta keluarga.
Dengan keseimbangan antara keluasan, gaya dan aerodinamik, Prius v mempunyai pekali seret yang rendah iaitu 0.29, faktor yang penting untuk kereta hibrid. Harus tahu bahawa Prius v bukan versi Prius yang dipanjangkan. Tetapi kenderaan baru yang direka daripada lakaran asal dengan bentuknya dievolusikan daripada Prius.
Prius sudah sinonim sebagai simbol kenderaan Toyota yang menjimatkan, jadi kenapa ia tidak dieksploitasi. Tambahan pula Prius sudah terjual sebanyak tiga juta unit sejak diperkenalkan 14 tahun lalu.
Toyota Prius v bakal dipasarkan di AS pada pertengahan tahun ini. Saya optimis ia bakal dipasarkan ke serata dunia bagi mengukuhkan lagi pengaruh teknologi hibrid Toyota. Harganya pasti premium. Usah risau kerana banyak negara memberi rebat bagi membolehkan kenderaan mesra alam dapat dimiliki segenap lapisan masyarakat.
Jika ditanya tentang pasaran domestik, tiada jawapan pasti boleh diberikan. Sebabnya, rebat cukai untuk kereta hibrid bakal luput pada penghujung tahun ini.
Kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, statistik jualan kereta hibrid seperti Honda Insight yang kukuh serta harga bahan api yang tidak menentu adalah bukti jelas kenapa kerajaan perlu melanjutkan rebat cukai hingga ke tahun-tahun seterusnya.
Jika Toyota Wish bersepah-sepah di atas jalan raya, saya dapat bayangkan senario yang sama untuk Prius v.