Khamis, 16 Jun 2011

KBS Sedia Menanti Jutaan Belia ke Putrajaya Tahun 2012

KBS SEDIA MENANTI JUTAAN BELIA KE PUTRAJAYA TAHUN 2012


MUAR, 12 Jun – Kementerian Belia dan Sukan ( KBS ) sedang membuat persiapan untuk menerima lebih sejuta belia yang akan berkampung di Putrajaya sempena Sambutan Hari Belia Negara ( HBN) tahun depan.


Pelbagai program sedang dan akan diadakan sebagai promosi dan langkah awal bagi mendekatkan diri golongan belia dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat mereka ke sana nanti
.












Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Razali Haji Ibrahim berkata, Karnival Belia P.146 yang diadakan di peringkat Parlimen Muar menjadi pelopor kepada gerakan aktiviti-aktiviti yang diadakan di seluruh negara sebagai persiapan dan promosi bagi menarik lebih sejuta belia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang akan diadakan selama seminggu penghujung Mei tahun depan.


“Kita akan membawa lebih ramai belia untuk ‘ menawan’ Putrajaya tanpa menjejaskan atau mengganggu urusan harian di sana. Kita akan berkampung selama seminggu dengan pelbagai jenis aktiviti mengikut pilihan dan minat mereka. Kita juga berhasrat untuk menyahut cabaran Perdana Menteri untuk menarik jumlah belia yang lebih besar untuk ke Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas bersama-sama dalam aktiviti sempena karnival ini.


Menurutnya, KBS akan menyediakan tempat untuk belia dan beberapa pendekatan baharu di perkenalkan bagi mendekatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan sebagai persediaan kepada perhimpunan yang lebih besar.


“Saya mahu agar KBS mengekalkan momentum ini untuk perhimpunan di Putrajaya tahun depan dan saya yakin jumlah yang hadir melebihi dari apa yang kita sasarkan,” ujarnya.


Beliau juga percaya bahawa golongan belia mampu melaksanakan sesuatu tugasan yang besar jika diberikan kepercayaan dan keyakinan. Kejayaan Karnival Belia P.146 ini katanya, adalah kejayaan kaum belia kerana ia dilaksanakan sepenuhnya oleh mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan