PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menempatkan Piala FA di Muzium Negeri.
Hasrat itu dinyatakan sendiri Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh memandangkan Terengganu selaku juara terakhir sebelum trofi Piala FA itu ditukar pada tahun depan.
“Setakat ini FAM belum membuat sebarang keputusan berhubung trofi Piala FA ini akan ditempatkan di mana, namun kita (PBSNT) akan membuat rayuan secara rasmi dalam masa terdekat ini untuk membolehkan ia menjadi milik Terengganu.
“Dalam masa yang sama juga, kita bercadang untuk menjadikan piala ini (Piala FA) sebagai anugerah kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas perarakan meraikan kemenangan pasukan Terengganu di Dataran Shahbandar, dekat sini, semalam.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung kemenangan Terengganu menjulang Piala FA setelah 11 tahun menanti, beliau menganggap kemenangan itu hasil sokongan padu semua pihak terutamanya penyokong.
“Kita berterima kasih kepada semua pihak terutamanya penyokong yang hadir begitu ramai dan hasil doa semua pihak akhirnya kita Terengganu berjaya menjulang Piala FA pada tahun ini.
“Selain itu, saya turut berbangga dengan aksi kesemua pemain kerana sentiasa bersemangat hingga ke saat akhir dan akhirnya kemenangan menjadi milik kita (Terengganu),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan